Layakkah Aku Digelar "Ustaz"? - Bab 1(2)

Bab 1
Tak Kenal Maka Tak Cinta

Setelah menggeledah kami gagal menemui duit RM1000 itu.Saya mengambil keputusan untuk menghubungi Pak Ngah segera.Menurut Pak Ngah, sekiranya duit itu diambil oleh makhluk halus (khadam) ia akan ambil berulang-ulang selagi duit kita masih ada.
Gambar Hiasan

Menurut Pak Ngah juga, kelemahan makhluk halus (khadam) ini, ia tidak boleh mengambil keluar duit sekiranya ruang dan lubang yang ada tidak muat untuk duit di tarik keluar atau tidak boleh dimasuki udara.Saya mula padankan apa yang diberitahu Pak Ngah dengan tarikh kejadian duit hilang.Saya sepatutnya menyimpan duit di dalam peti besi tetapi hari itu saya hanya tinggalkan di dalam laci kerana gelut balik rumah.Lagipun,tidak  pernah berlaku kes kehilangan duit sebelum ini.

Pak Ngah menasihati saya supaya menunggu di dalam bilik akaun itu untuk satu malam kerana sekiranya betul duit saya diambil oleh makhluk halus, ia akan datang ambil lagi.Jadi tindakan yang harus diambil, bagi ia terserempak dengan kita baru ia akan berhenti buat kerja gelapnya.
gambar hiasan
Malam itu juga saya bertekad untuk tinggal di dalam pejabat di dalam bangunan Angkasaraya tersebut. Apabila semua orang balik dari pejabat, saya tidak balik dengan alasan hendak buat "overtime'.Lebih kurang jam 7 malam, saya mengunci pintu pejabat dari dalam.

Bermulalah saat yang mendebarkan iaitu menunggu kedatangan makhluk halus.Malam itu,saya sembahyang dan makan di luar bilik akaun.Lampu dipadamkan semua agar pengawal keselamatan tidak mengesyaki saya.Saya menunggu di luar bilik akaun dan melihat ke dalam bilik itu melalui cermin lutsinar.Saya membuka radio perlahan untuk jadi peneman saya.

Malam itu hati saya berdebar kencang.Bukan apa,menunggu makhluk halus yang kita tidak pernah tengok rupa parasnya satu hal,tambah lagi pengawal keselamatan asyik menggoncang pintu selang beberapa jam mengikut rutin.Mereka akan periksa satu demi satu ruang pejabat di dalam bangunan Angkasaraya itu sebagai rutin.Saya risau juga sekiranya mereka dapat perasan yang saya ada di dalam pejabat itu.

Menunggu dengan penuh debar.Sekali-sekala saya menjenguk ke dalam bilik akaun yang hanya diterangi oleh cahaya lampu neon jalan Ampang itu.Mata kadangkala memandang ke arah jam.Gelisah sungguh malam itu.

Hendak dijadikan cerita, lepas sikit  jam 12 malam, radio yang buka tadi,menjadi semakin perlahan dan seterusnya terpadam.Hanya Allah yang tahu perasaan saya waktu itu.Bulu roma saya tiba-tiba meremang, perasaan saya berkata mungkin inilah tanda kehadiran makhluk halus .Mungkin juga ia meremang disebabkan perasaan takut saya sendiri.Dengan memberanikan diri dan terus ingat kepada Allah,saya bangun menjenguk ke dalam bilik akaun.

Setiap ruang bilik akaun itu diamati betul-betul namun tidak ada satu bayang atau lembaga yang kelihatan.Lantas,saya menyalakan lampu bilik tersebut dengan harapan sekiranya ada "khadam",ia akan perasan kehadiran saya.Saya betul-betul bertekad "Apa nak jadi,jadilah!"Hanya Allah saja yang tahu perasaan saya ketika itu.

Tetapi,apa yang mengherankan saya,sebaik sahaja saya menyalakan lampu bilik akaun itu,radio yang tadi senyap itu kembali seperti sediakala.Ahh! Ini mungkin satu kebetulan sahaja,fikir saya.Sambil hati saya sentiasa berzikir kepada  Allah.

Akhirnya malam itu berlalu begitu sahaja dan saat-saat yang mencemaskan reda hingga ke pagi.Saya amat bersyukur kepada Allah kerana tiada perkara yang tidak diingini berlaku.Saya membuka pintu pejabat sebaik sahaja terdengar orang ramai sudah mula masuk ke bangunan itu untuk bekerja.Alhamdulillah kerana pengawal keselamatan tidak mengesyaki saya semasa saya keluar dari bangunan itu untuk balik mandi.

Selepas itu,saya memberitahu apa yang saya alami kepada Pak Ngah dan beliau menjemput saya pergi ke rumahnya untuk proses rawatan selanjutnya.Seperti "pucuk dicita,ulam mendatang" terus saja saya bersetuju.


Pak Ngah yang seingat-ingat saya tinggal di Felda Kepis,Bahau Negeri Sembilan.Saya memulakan  perjalanan seawal 8 pagi terus menuju ke Bahau dengan menunggang motosikal Yamaha Sport.Sakit punggung dan urat belakang bukan main kepalang tetapi memandangkan ingin mencari pengalaman dan ingin dapat balik RM1000 yang hilang,saya sanggup.Letih ada,seronok ada semuanya bercampur-baur.Saya sampai sana lebih kurang jam 7 malam.Pak Ngah menyambut saya di Pekan Bahau dan membawa saya ke Felda Kepis.Ooo...macam ni rupa Pak Ngah Kak Ton! Boleh tahan  juga dan ada tanjak sebagai seorang ustaz.Namun dalam hati ini tak sabar-sabar nak tahu bagaimana beliau boleh hafal Yasiin dengan satu nafas.Sabar!Sabar! Jangan tanya dulu,masih ada banyak masa lagi.

Itulah baru pertama saya memijak kaki ke kawasan Felda.Sebelum itu hanya dengar khabar tentang Felda dalam TV sahaja.Boleh tahan juga kawasan Felda Kepis.Selepas menunaikan solat Maghrib dan makan malam saya diajak Pak Ngah ke sebuah rumah dalam kawasan Felda itu, untuk melihat cara membuang saka yang mengganggu nenek tua.


Saya begitu teruja dan perasaan ingin tahu melebihi perasaan takut.Inilah kali pertama saya mengikut orang berubat.Dalam hati ini, sentiasa teringat kata-kata emak "Takut apa,Allahkan ada".Itulah kata-kata hikmah yang selalu keluar dari mulut emak saya sewaktu saya masih kecil.

bersambung ...jangan terlepas untuk mengikuti episod seterusnya "Bab 1(3)

Comments

Popular posts from this blog

Ayat Penawar - Al-Isra' Ayat 82

Cara Mencari ayat Al-Quran dan Terjemahan Dengan Mudah (untuk yang belum tahu)